SAKIT TERUK LEPAS BERSALIN, RUPANYA URI BAYI TERTINGGAL DEKAT DALAM

Sakit Teruk Lepas Bersalin,Rupanya Uri Bayi Tetinggal Dekat Dalam|semua reda, baru ada kekuatan untuk berkongsi cerita ini pada kawan-kawan. Maaf, ramai yang mesej tanya kenapa, mengapa, bagaimana. Has pun tak ada jawapan. Ini saja penjelasan yang ada. Nak balas mesej seorang demi seorang, tak ada masa. Ini Has beritahu sejelas-jelasnya.
Detik gembira menjadi seorang ibu kepada bayi perempuan menjadi detik hitam bermula pada 11 Disember (Khamis).

Adik Has, Cera, bersalin normal pada 4.30 petang di Hospital. Selepas bayi keluar dengan selamat, dia ditinggalkan oleh doktor dengan dua orang bidan pelatih, seoransg bidan senior dan suami. Bidan pelatih menari uri dan terputus (mengikut apa yang diceritakan). Bidan takut dan terus meninggalkan Cera dengan suami. Sehingga jam 6.30 petang selepas berbalah dengan mereka yang terlibat, barulah Cera boleh dimasukkan ke bilik Operation Theatre (OT) untuk mengeluarkan uri.

Pada waktu itu, Cera sudah mengalami tumpah darah. Di labour room, mereka menggunakan tangan untuk mengeluarkan uri tersebut tetapi darah membuak-buak sehingga terpercik ke baju doktor. Tekanan darah semakin rendah, Cera pula semakin lemah. Dia terus ditolak ke bilik OT.

Selesai pada jam 9.00 malam, darah masuk satu beg (aku tak tahu apa istilah yang betul).
12 Disember (Jumaat), Hari ke-2

Uri yang kita terima hanya besar segenggam. Pelik dengan benda itu, Has suruh suami Cera periksa sekali dengan pihak hospital. Sebelum discharge, mereka telah keluarkan surat mengatakan semuanya telah 'complete', titik! dan kami pulang pada petangnya

Gembira sampai di rumah, menyambut orang baru, Orked Isabeela, 2.34 kilogram pada jam 4.30 petang pada 11 Disember.

13 Disember (Sabtu) Hari ke-3
Jururawat dari klinik desa datang melawat. Cera masih lemah dan pucat. Untuk ke tandas yang cuma beberapa langkah pun mencungap. Hairan tetapi sedapkan hati mungkin kerana dia kekurangan darah. Jadi dia mudah pening dan nak jatuh. Baby Orked ada sedikit kuning. Dibawa ke klinik, bacaan 11.

14 Disember (Ahad) Hari ke-4
Cera masih dalam keadaan sama. Kadang-kadang dia rasa nak demam. Masa itu anggap dia bengkak susu. Makan panadol, baik. Follow up jaundis Orked, bacaan 15, admitted. Balik rumah ambil Cera untuk duduk dengan Orked bersama.
3 hari 2 malam di An-Nur

16 Disember (Selasa) Hari ke-6
Menginap di hotel belakang hospital. Jam 4.00 pagi tiba-tiba Cera demam kuat dan menggigil teruk. Dia minta makan panadol. Memang rasa tak sedap hati. Kalau pun bengkak susu, takkan sampai seperti itu? Tetapi dia kata dia okay.

Terlelap, sedar-sedar dengar dia memanggil. Tengok Cera sudah sesak nafas, menggigil kuat dan pakai selimut tebal dua lapis pun dia kata sejuk. Memang tak tahu nak buat apa pada masa itu. Teringat terus untuk hubungi suami Cera. Jam 7.00 pagi, sampai di Az-Zahrah.

Terlalu sukar untuk menggambarkan keadaan pada ketika itu. Tiba-tiba berlaku dalam sekelip mata, Cera seperti tidak sedarkan diri. Terus ditolak ke bilik ICU sebab kekurangan oksigen. Nadinya laju, matanya terbuka tetapi pandangannya kosong. Dipasangkan alat-alat dan wayar, pakai oksigen sebab dia tidak mampu bernafas sendiri. Masih lagi menggigil kuat.

Cera sudah mula merepek, mungkin kerana disebabkan demam panas terlampau tinggi. Az-zahrah kekurangan kelengkapan ICU, mereka terpaksa tolak kes ke Hospital Putrajaya semula dan dihantar dengan menaiki ambulans.

Dari Az-Zahrah, mereka buat rumusan sama ada jangkitan sama ada di paru-paru atau dalam darah. Kita sama sekali tidak mengagak yang ada uri yang masih tertinggal di rahimnya. Langsung tidak.

Sampai di Hospital hanya berdua dengan dia. Cera ditolak ke labour room. Has tunggu di luar. Suami Cera uruskan Orked yang dischargae hari yang sama dari An-Nur. Lama menunggu, setelah berkali-kali bertanya pada jururawat yang bertugas, tetapi tidak dilayan. Has cuma nak tahu bagaimana keadaan dia di dalam. Jawapan yang sama juga mereka beri.
"Tak Tahu!"

Hampir dua jam tiada sebarang jawapan yang diberi. Bengang, terus tolak pintu labour room itu, tetapi mereka tidak bagi. Suami saja yang dibenarkan. Saya cakap pada jururawat itu saya adalah kakak kepada Cera. Suami uruskan anak dia yang keluar dari hospital. Dapat maki sebijik terus tolak masuk. Terkejut tengok ramai orang yang mengerumuni Cera.
Saya tanya apa yang berlaku, doktor jawab, "Sebenarnya puan, kita keluarkan uri dia," katanya sambil menunjukkan plastik uri itu. Uri yang ditunjukkan itu memang besar, lebih besar dari yang telah ditanam. Terus bermacam-macam soalan berserta makian.

"Macam mana benda sebesar ini korang boleh kata dah habis keluar? Masa yang keluar segenggam itu korang tak pelik ke? Korang doktor ke aku yang doktor sekarang? Apa yang korang buat semasa di bilik OT itu? Buat kerja ke tak buat kerja? Di hari discharge kita suruh periksa sekali lagi dan diberitahu semuanya okay. Hari ini benda ini duduk dalam perut sampai enam hari??"

Semua soalan itu tiada jawapan. Doktor pun tak boleh jawab. Dia tarik manual saja. Bayangkan orang yang bersalin enam hari luka masih baru dengan jahitan yang belum pulih. Dikeluarkan uri sebesar itu. Ermm, tanda soal besar?

Lagi tak masuk akal bila doktor itu kata "kadang-kadang uri ini ada orang satu, kadang-kadang ada dua. Uri ini kalau rahim semakin kecut, dia akan keluar sendiri,".

What?! Terus Has jawab, "Kalau uri itu ada 2 ke, 10 ke, keluarkanlah semua. Kan dia masuk bilik OT, kenapa tak periksa betul-betul??" balas saya pada dia.

Doktor ingat saya budak-budak ke? Saya kakak dia, saya ada tiga orang anak dan bukannya saya tak pernah tengok uri, macam mana besar dan berat uri itu. Tak jadi pada keluarga korang, bolehlah cakap pusing sana pusing sini.

Dan pihak hospital discharge Cera pada 12 Disember itu tanpa perlu pemeriksaan lanjut lagi. Betapa yakinnya mereka bahawa uri tiada lagi di dalam perutnya.
17 Disember (Rabu) Hari ke-7

Sekali lagi Cera dimasukkan ke bilik OT untuk cuci semula. Kasihan dia, tetapi kalau tak buat, takut masih ada lagi sisa yang tertinggal. Masuk bilik OT dalam keadaan yang kita tengok sihat, boleh melambai, boleh senyum, tiba-tiba sudah jururawat tolak Cera dalam keadaan wayar penuh sana sini. Sambil berkata "Pesakit ini 50-50 oksigen tidak sampai ke otak dan ada jangkitan di paru-paru. Kita akan tolak ke ICU,".

Boleh kalian bayangkan perasaan mak saya pada ketika itu? Melihat anaknya yang tidak sedarkan diri, dia bukan ada sakit apa, cuma bersalin tetapi sampai jadi seperti ini. Speechless!

19 Disember Hari ke-10

17, 18, 19hb di ICU. Dua malam tidak sedarkan diri kerana diberi ubat tidur untuk tujuan merehatkan Cera. Subuh 19 Disember, Cera sedar. Suami Cera, mak ayah ada pada masa itu. Alhamdulillah, jam 12 waktu melawat baru Has boleh tengok Cera. Tak terkata bila tengok dia sudah mampu senyum dan melambai tangan. Selepas dia boleh makan dan minum sendiri dan bernafas sendiri, petang itu dia ditolak ke wad biasa.

Dirawat dari 16 - 28 Disember, barulah Cera dibenarkan pulang. Discharge dan bil tetap perlu dibayar. Apakah? Perlukah? Sebab apa? Tapi dibayar dengan jumlah sekian-sekian dan balik.

Has kongsikan perkara ini bukan bertujuan untuk meraih simpati tetapi nak cerita tentang manusiawi, tanggungjawab, amanah dalam perkerjaan. Bila terjadi pada keluarga, orang tersayang, apa korang akan buat? Jujurlah dalam melakukan sesuatu. Bertanggungjawablah pada tugasan anda masing-masing. Bidang anda terlibat dengan nyawa manusia, jadi berhati-hati bila menyarung pakaian kerja kalian.

Marah di atas kecuaian, tetapi apakan daya nak melawan kerajaan? Kita ini bukan orang yang ada-ada. Serahkan segalanya pada Dia yang Maha Melihat tiap-tiap satunya yang terjadi. Yang penting nyawa adik, dia lebih penting perlu dirawat sepenuhnya. Kalau kita lawan, apa gunanya wang jika nyawa melayang?

Sekadar coretan dari hati, tiada niat lain selain dari berkongsi rasa. Semoga ini tidak berulang lagi pada orang lain. Terima ianya sebagai Qada dan Qadar. Moga adikku Norshaheera dipanjangkan umur dan diberikan kesihatan yang berpanjangan. Amin. - Hass.THEHYPEMEDIA
0 Komentar untuk "SAKIT TERUK LEPAS BERSALIN, RUPANYA URI BAYI TERTINGGAL DEKAT DALAM"

 
Copyright © 2014 BERITACERITA - All Rights Reserved
Template By Catatan Info