Beijing (China) – Seorang doktor yang gagal menyelamatkan nyawa pesakitnya, cedera parah selepas diserang suami pesakit berkenaan yang mendakwa isterinya mati kerana doktor itu tiba lewat.
Menurut polis, Wu Jianqiang, 28, yang kini dirawat di sebuah hospital di sini menerima panggilan kecemasan daripada keluarga pesakit pagi kelmarin.
Bersama seorang jururawat dan dua petugas ambulans, dia tiba di rumah mangsa sembilan minit kemudian.
Selepas memeriksa dan melakukan CPR, pesakit tidak menujukkan sebarang tanda masih hidup.
Sebaik mengesahkan wanita itu mati, keluarga pesakit memaki hamun Wu dengan seorang daripada mereka mula memukulnya.
Mereka kemudian mengejar doktor berkenaan sambil mengancam memotong tangannya.
Wu jatuh ketika berlari untuk menyelamatkan diri, menyebabkan dua anggota keluarga wanita itu terus memukulnya.
Menurut polis, suami wanita itu, Hu, dan jiran mereka, Shi, mengaku melakukan jenayah itu.
Hu dibebaskan sementara untuk membolehkan dia menguruskan mayat isterinya sementara Shi ditahan untuk didakwa.
Berita mengenai kejadian itu yang tersebar di laman sosial di China mengundang kritikan terhadap keluarga pesakit.
Seorang pengguna menulis: “Doktor itu tiba enam minit selepas menerima panggilan. Dia dipukul dengan teruk.
“Bayangkan jika dia tiba 10 minit. Mungkin kulitnya disiat.” – Agensi/myMetro Online
0 Komentar untuk "DOKTOR DIBELASAH SELEPAS ISTIHARKAN PESAKIT MATI"