APABILA ISTERI MEMUJA LELAKI SELAIN SUAMI HINGGA KE BILIK TIDUR

ISTERI memuja lelaki selain suaminya pernah diceritakan dalam al-Quran secara khusus ketika peristiwa Nabi Yusuf AS digoda isteri Al-'Aziz, Ra'il binti Ra'ail atau lebih dikenali sebagai Zulaikha dalam kitab tafsir seperti Tafsir Al-Qurthubi.

Keinginan dimaksudkan adalah kemuncak kepada pemujaan dengan melaksanakan hubungan intim antara lelaki dan perempuan. Bermula dengan melihat, meminati, berangan dapat dimiliki walaupun dalam mimpi, kemudian cari peluang bertembung mata dan jasad adalah tindakan menjurus kepada perbuatan maksiat.
PUJI LELAKI LAIN, MIMPIKANNYA

Pendakwah, Ustazah Shadiya Abbas berpendapat, sentiasalah menyebut Subhanallah saat melihat sesuatu mengagumkan. Manakala bagi mereka yang dipuji, ucapkanlah Bismillahi Masya-ALLAH, La Haula wa La Quwwata Illa Billahil 'Aliyyil 'Azhim.

"Maknanya sama ada kita memuji atau dipuji, hendaklah dikembalikan rasa kegembiraan atas nikmat tadi kepada ALLAH. Harus bagi isteri memuji lelaki lain dengan tujuan mengambil pengajaran, mendamaikan pertelingkahan atau mengajak orang lain memikirkan kebaikan individu dipuji.

"Bahkan memperoleh pahala jika dengan sebab pujian yang benar menyebabkan ukhuwah terjalin dan orang lain bersemangat meniru kebaikannya. Misalnya kita memuji Rasulullah SAW di hadapan suami dengan tujuan mengajak suami melakukan kebaikan atau memuji lelaki lain atas tujuan yang sama.

"Berdosa besar apabila kita memuji lelaki lain dengan tujuan menyindir suami, mogok atau bertujuan menyakiti suami. Apatah lagi jika kita memuji bekas kekasih hatta bekas suami terdahulu," katanya kepada Rehal.

Menurutnya, jika sekadar memuji lelaki lain dalam hati, tidak mengapa. Cuma ada baiknya rasa itu dipandu dengan perasaan takutkan ALLAH. Perlu diingatkan, disebabkan rasa minat Zulaikha kepada Nabi Yusuf AS dalam diam akhirnya memakan dirinya. Antara perbuatan perlu dielakkan:

Berangan-angan memilikinya hatta dalam mimpi.
Menyimpan gambarnya sebagai cara melepaskan rindu.
Berimaginasi dapat bermesra-mesra dengan lelaki pujaannya.

Sekiranya isteri atau suami melakukan perbuatan tersebut, dia melakukan kekejian terhadap jiwanya, menyukai hal yang haram sekali gus mendorong kepada perlakuan zina. Paling membimbangkan, dia sedang menulis namanya sebagai ahli neraka. Jika kita pernah melakukan perbuatan di atas, mohonlah ampun daripada ALLAH dengan bertaubat dan bermujahadahlah.

PANDANGAN ALLAH CINTAI

Islam bukanlah agama yang melarang sahaja. Apabila kita benar-benar memahami tatacara hidup orang beriman, larangan ALLAH sedikit berbanding dengan ALLAH benarkan. Contohnya larangan memakan bangkai dan daging babi atau haiwan bertaring amatlah sedikit berbanding pelbagai jenis makanan halal di sisi ALLAH. Begitulah dalam hal pergaulan lelaki dan wanita ajnabi. Ruang larangan amatlah sedikit berbanding ruang dibolehkan.

Beliau yang juga Perunding Motivasi di Emkays Future Traning & Consultancy berkata, ALLAH memerintahkan wanita menundukkan pandangan dan menjaga kemaluan mereka selepas perintah yang sama juga dikenakan kepada kaum lelaki sepertimana dalam Surah An-Nur ayat 31.

"Seruan ALLAH ini hanya kepada wanita dan lelaki beriman. Syeikh Abi Abdillah atau Ibnu Qosim Al-Ghozi dalam kitabnya Fathul Qarib bab Hukum-Hukum Pernikahan menjelaskan harus hukumnya bagi wanita dan lelaki memandang satu sama lain dalam tujuh hal iaitu;

Melihat tanpa syahwat
Ketika memandang pasangan masing-masing
Memandang ahli keluarga yang berkait nasab dan susuan
Memandang untuk tujuan bernikah
Memandang untuk tujuan perubatan
Ketika menjadi saksi (sesi soal jawab)
Memandang bagi tujuan muamalah

"Ahli fiqh menyatakan haram memandang seseorang dengan pandangan syahwat. Rasulullah SAW memalingkan kepala 'Ali semasa 'Ali memandang lama ke arah seorang perempuan dan Nabi SAW bersabda: "Wahai 'Ali, janganlah kamu ikuti pandangan pertama itu dengan pandangan berikutnya. Pandangan pertama boleh buat kamu tetapi tidak pandangan selepasnya. Kerana pandangan pertama untukmu dimaafkan dan pandangan kedua untukmu tidak dimaafkan." (Riwayat Abu Daud)," jelasnya.

Menurut Ustazah Shadiya lagi, hadis berkenaan tidak dikhususkan kepada lelaki sahaja. Disebut lelaki kerana sifat lelaki yang begitu, manakala wanita juga mempunyai rasa yang sama seperti lelaki. Namun wanita dilindungi dengan sifat malu. Dalam hal memandang pun sudah diingatkan Nabi SAW akan bahayanya, bayangkanlah kesan buruknya apabila seseorang itu mengintai, merenung hingga berhasrat pula untuk bertemu dalam mimpi.

SUAMIKU BUKAN IDAMANKU

Hakikatnya punca seorang isteri mengangan-angankan lelaki lain selain suaminya disebabkan nikmat penglihatan, kagum pada penampilan khasnya pada wajah dan tubuh badan yang tidak dimiliki suami sendiri. Rasa kagum ini lahir kerana terlalu merenung dan melayan gejolak nafsunya.

"Gelombang keinginan kepada lelaki yang berbadan sasa, berwajah cantik dan mulus, bersifat romantik, bergaya metro seksual semakin merebak apabila baru-baru ini pendengar wanita memberikan respons berbaur tarikan seksual terhadap seorang tetamu yang hadir dalam rancangan radio swasta di Malaysia. Lelaki seperti ini digelar sebagai lelaki amrod atau bahasa masyarakat moden sebagai lelaki jambu.

"Hal ini juga terbukti apabila masyarakat kita digemparkan dengan perlakuan remaja perempuan memeluk artis lelaki K-Pop di atas pentas disaksikan oleh ramai remaja disertai sorakan dan tepukan.

"Tidaklah menjadi kesalahan jika isteri mahu suaminya kelihatan indah seperti lelaki yang diminatinya. Kerana suami juga wajib berdandan untuk isteri sama seperti isteri berdandan untuk suami.

"Tetapi isteri hanya boleh memberi cadangan penampilan yang sesuai untuk suami. Makruh memaksa suami berkelakuan seperti lelaki pujaannya bahkan haram jika suami enggan dan pakaian yang dipakaikan memalukan suami serta melanggar syariat. Berbeza dengan mendorong suami berpenampilan menarik bertepatan dengan sunnah Rasulullah SAW yang suka berdandan untuk isteri Baginda SAW," tambahnya lagi.

Beliau menjelaskan mengenai kisah yang disebut ALLAH dalam al-Quran yang tidak menyebutkan nama isteri Al-'Aziz kerana isu yang diangkat bukan semata-mata mengenai Zulaikha, tetapi ia menjurus kepada status seorang isteri yang dilimpahi dengan kemewahan namun malangnya tidak bahagia dalam perkahwinan.

ALLAH berfirman: "Dan perempuan-perempuan di kota berkata; Isteri Al-'Aziz menggoda dan merayu pelayannya untuk menundukkan dirinya, pelayannya benar-benar membuatnya mabuk cinta. Kami pasti memandangnya dengan kesesatan yang nyata." (Surah Yusuf: 30)

"Berdasarkan ayat di atas saya mahu menghubungkan dengan apa yang disabdakan oleh Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang panjang mengenai godaan wanita.

"Diriwayatkan daripada Jabr RAH, Nabi SAW melihat seorang perempuan maka Baginda datang kepada isterinya Zainab yang ketika itu sedang menggosok kulit binatang miliknya untuk disamak, lalu Baginda SAW menunaikan haknya ke atas Zainab (menggauli isterinya itu).

"Kemudian Rasulullah SAW pergi kepada sahabatnya lalu bersabda: "Sesungguhnya wanita itu menghadap ke muka dalam bentuk syaitan dan menghadap ke belakang dalam bentuk syaitan..." (Riwayat Muslim)," katanya.

Ustazah Shadiya berkata lagi, Imam Al-Qurthubi menghuraikan hadis yang panjang ini dengan menyebut maksud Nabi SAW ialah apabila seorang wanita itu ke khalayak ramai, syaitan akan duduk di atas kepalanya dan memperindah pandangan orang melihatnya dan syaitan juga akan duduk di belakangnya semasa dia pulang serta menghiasnya hingga mata-mata yang memandangnya akan terpana. Alangkah bahayanya jika yang melihat isteri kita mempunyai niat jahat.

KATA KUNCI SUAMI ISTERI

Itulah sebabnya Rasulullah SAW menyebutkan mengenai bahaya tipu daya wanita dan perintah menjaga kaum wanita dalam khutbah wida’ Baginda SAW. Bahkan Al-Quran turut menceritakan kata-kata Al-'Aziz dalam akhir ayat 28 Surah Yusuf dengan mengatakan: "Sesungguhnya kejadian itu adalah tipu daya kamu. Sesungguhnya tipu daya kamu benar-benar hebat."

Rasulullah SAW sendiri mengingatkan isteri Baginda SAW melalui satu peristiwa ketika Ibnu Maktum RAH datang bertemu dengan Nabi SAW. Nabi SAW memerintahkan isterinya iaitu Ummu Salamah dan Maimunah masuk ke dalam kamar. Lantas Ummu Salamah bertanya; bukankah orang itu tidak boleh melihat kami? Lalu Rasulullah SAW menjawab: "Bukankah kalian dapat melihatnya?." (Riwayat Abu Daud & Tirmizi)

Hebatnya Rasulullah SAW mendidik isterinya bermula daripada mendidik apa yang isteri lihat hinggalah mendidik akidah isteri.

Isteri yang memuja lelaki selain suaminya tidak nampak kemuliaan suami sendiri. Maka, suami sekalian perlu bermuhasabah diri apabila isteri mengidamkan lelaki lain hingga berangan ke dalam mimpi.

Kuncinya mudah sahaja untuk mengembalikan isteri agar mengikut perintah ALLAH dan menjadikan rumah tangga penuh rasa cinta yang subur iaitu; kembali menjaga ALLAH dalam hidupmu dengan baik, maka ALLAH akan menjaga urusanmu baik-baik.KREDIT
0 Komentar untuk "APABILA ISTERI MEMUJA LELAKI SELAIN SUAMI HINGGA KE BILIK TIDUR"

 
Copyright © 2014 BERITACERITA - All Rights Reserved
Template By Catatan Info