SUNGAI MANIK: Seorang warga emas yang menjadi viral di laman sosial baru-baru ini yang hidup susah berseorangan di dalam sebuah rumah buruk yang hampir roboh ternyata mendapat perhatian ramai termasuk media.
Warga emas berkenaan, Ismail Labin, 74, ketika ditemui media Sinar Harian menyatakan bahawa dia sudah biasa hidup begini.
“Pakcik sudah biasa hidup sendiri, macam inilah keadaan rumah asalkan selesa dan selamat sudah memadai bagi orang bujang macam pakcik, " katanya.
Dalam lawatan itu turut disertai oleh Adun Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin serta Pembantu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Hilir Perak, Muhammad Azanie Ehsan, bagi melihat sendiri keadaan Ismail yang dikatakan tinggal bersendirian di Parit 18B Sungai Lampam.
Menurut cerita pak cik Ismail, sejak pemergian kedua-dua orang tuanya, dia hanya tinggal seorang diri kerana tidak berkahwin.
“Pakcik tidak berkahwin kerana semasa muda mengambil tugas menjaga orang tua yang tidak sihat, tapi pakcik tidak pernah merasa menyesal malah bersyukur dapat berbakti kepada mereka.
“Tetapi, pakcik ada anak saudara yang tinggal tidak jauh dari sini dan kadang-kadang dia ada melawat untuk bertanya khabar dan melihat keadaan pakcik,” katanya.
Ditanya mengenai urusan makanan, minuman dan pakaiannya, Ismail berkata, semuanya diuruskan oleh dirinya sendiri.
“Kalau larat pakcik akan masak sendiri menggunakan dapur kayu, kalau tidak pakcik kayuh basikal ke kedai makan berdekatan untuk beli nasi bungkus,” katanya yang merupakan penerima bantuan JKM sejak tahun 1990
Beliau menerima bantuan RM300 sebulan di bawah Bantuan Orang Tua (BOT) dan pernah menerima RM1,000 untuk membaiki rumah tetapi tidak mencukupi kerana rumah berkenaan terlalu uzur.
Menurut pegawai JKM, Muhammad Azanie, pihak JKM pernah memujuk Ismail supaya tinggal di rumah orang-orang tua memandangkannya hidup sebatang kara, tetapi dia menolak.
Ismail ketika ditanya mengapa menolak tawaran tinggal di rumah orang-orang tua, menjawab bahawa dia lebih selesa tinggal seorang kerana di sana dia tidak bebas.
“Saya ada rumah dan tanah sendiri, jadi lebih baik tinggal di sini daripada di rumah orang-orang tua kerana di sana saya akan dikongkong, tidak bebas bergerak ke mana-mana,”katanya.
Sementara itu, Adun Sg Manek, Zainol Fadzi mengakui semua ini terjadi kerana kelemahannya sebagai Adun dan gagal membantu Ismail walaupun Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) pernah membuat laporan mendapatkan bantuan rumah untuknya.
“Tetapi pada masa sama kami tidak pernah mengabaikannya kerana JKKK sering menamakan beliau sebagai penerima sekiranya ada majlis penyampaian sumbangan, selain JKM turut membantu sejak 1990 lagi,” katanya.
Zainol Fadzi berkata, pusat khidmat Dun Sungai Manik sudah menghubungi pihak Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBUDR) untuk membantu membina sebuah rumah kediaman baharu buat Ismail dengan segera.
“Saya berharap kerajaan pusat melalui Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) supaya dapat menambah jumlah peruntukan rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di setiap daerah.
“Ini kerana senarai menunggu untuk menerima bantuan berkenaan terlalu ramai dan misalnya di Hilir Perak setahun hanya lapan buah rumah sahaja diperuntukkan,” katanya.
Menurut Zainol Fadzi, dia sempat bersembang dengan Ismail di mana warga emas berkenaan memberitahu yang rumah itu dibina atas tanahnya sendiri dan sudah berusia 57 tahun.
“Saya juga dimaklumkan bahawa tanah milik Ismail diwakafkan kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (Maipk) sekiranya dia meninggal dunia.
“Ismail juga berkata dalam satu musim padi (empat bulan) dia memperoleh sekurang-kurangnya RM700 hingga RM800 dan itu digunakan sebagai tambahan perbelanjaannya selain bantuan daripada JKM,” katanya. - Siakapkeli.my
0 Komentar untuk ""SAYA SELESA TINGGAL BEGINI,SUDAH WAKAFKAN TAPAK RUMAH JIKA MENINGGAL DUNIA""