PEMANDU LUAH RASA TERKILAN DITUDUH SENGAJA LANGGAR HARIMAU

Berikutan pelbagai tuduhan yang diterimanya, Jurugambar bebas, Mohd Syahrin Abdul Aziz, 43, melahirkan rasa amat kesal apabila ada pihak menuduhnya sengaja melanggar seekor harimau sehingga mati dalam kejadian di Kilometer 321.2 Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2), dekat Kerteh, pagi kelmarin. 
“Saya memang tidak berniat langsung melanggar harimau itu kerana saya juga mempunyai rasa simpati. Kejadian kemalangan ini satu dalam sejuta,” katanya memetik laporan Harian Metro.

Menurut Syahrin, dia begitu sedih apabila mendapati harimau yang dilanggarnya itu harimau betina yang sedang bunting.

“Saya sedih apabila membaca akhbar dan pihak PERHILITAN (Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara) mengesahkan harimau itu bunting dua ekor anak.

“Tuduhan segelintir pihak adalah tidak wajar kerana bukan niat saya untuk melanggarnya,” katanya ketika ditemui di rumah mentuanya di Kampung Pusu 3 di sini, semalam.

Pihak PERHILITAN semalam mengesahkan harimau yang disifatkan ibu muda berumur 10-15 tahun itu sedang buntung di mana berat harimau berkenaan mencecah 100 kilogram.

Haiwan itu mati selepas dilanggar kenderaan pelbagai guna (MPV) dipandu Mohd Syahrin dalam kejadian jam 1 pagi dipercayai ketika sedang melintas lebuh raya terbabit.

Ketika kejadian itu, Mohd Syahrin bersama isterinya, Masturawati Asari, 42, serta tiga anak mereka, Muhammad Adam Syafril, 16; Nur Sarah Aina, 13, dan Nur Ain Sofi, 10, dalam perjalanan dari Ampang pulang ke Kampung Pusu 3.

“Saya sendiri mengalirkan air mata selepas kejadian itu sebaik mendapati haiwan yang dilanggar itu adalah seekor harimau.

“Saya juga melarang apabila ada beberapa pengguna lebuh raya yang berhenti melihat kejadian itu mahu mengambil bangkai harimau terbabit kerana ia menyalahi undang-undang,” katanya.
0 Komentar untuk "PEMANDU LUAH RASA TERKILAN DITUDUH SENGAJA LANGGAR HARIMAU"

 
Copyright © 2014 BERITACERITA - All Rights Reserved
Template By Catatan Info