Kuantan - Pengumuman kerajaan untuk menangguhkan kegiatan perlombongan bauksit di daerah ini mendatangkan kegembiraan dalam kalangan penduduk.
Namun bukan semua gembira dengan pengumuman itu.
Peneroka Felda Bukit Goh dan Bukit Kuantan yang terlibat dalam aktiviti itu meluahkan reaksi berbeza dengan pengumuman tersebut.
Menurut Setiausaha Jawatankuasa Penyelaras Masalah Bauksit Bukit Goh, Shahrudin Mohd, kerajaan sepatutnya memberi tempoh yang lebih panjang untuk tuan tanah bauksit bagi mengeluarkan hasil yang telah terkumpul.
Menurutnya, tempoh yang diberi iaitu sehingga 15 Januari ini sangat singkat untuk tuan tanah mengeluarkan semua bauksit dari tempat penyimpanan.
"Bayangkan terdapat seramai 248 peneroka Felda Bukit Goh dan Bukit Kuantan yang selama ini bergantung rezeki dengan hasil perlombongan ini.
"Dianggarkan kami memperoleh RM2,000 sebulan hasil pembayaran pengeluaran bauksit setiap bulan, jika diberhentikan sementara, kami semua nak makan apa dalam tempoh tersebut," katanya sebagaimana lapor Bernama.
Tambahnya juga, banyak pihak yang salah faham dengan beranggap peneroka yang terlibat dalam aktiviti ini memperoleh pendapatan lumayan hasil pajakan tanah mereka kepada pengusaha bauskit.
"Kami hanya mendapat bayaran deposit sahaja tahun lepas antara RM50,000 sehingga RM100,000 dan tidak ramai yang mendapat bayaran sehingga berjuta ringgit seperti anggapan sesetengah pihak sebelum ini.
"Sehubungan itu saya mewakili peneroka terlibat memohon kerajaan sekali lagi agar mempertimbangkan semula tempoh tersebut dan tidak melaksanakannya secara tergesa-gesa," katanya.
Sharudin mencadangkan agar perbincangan meja bulat diadakan antara semua pihak yang terlibat supaya penyelesaian dapat dicari. - Siakapkeli.my
0 Komentar untuk "LUAHAN HATI PENEROKA:"JIKA LOMBONG BAUKSIT DIHENTIKAN,KAMI NAK MAKAN APA""