LUAHAN DAN HARAPAN AMY SEARCH TENTANG PERKAHWINAN ANAKNYA

SEMUA ibu bapa mengharapkan yang terbaik buat anak-anaknya. Begitulah yang dirasai oleh Amy Search selaku bapa kepada pelakon Nabila Huda.

Merestui pilihan anak sulungnya, Amy Search atau nama sebenar Suhaimi Abdul Rahman berharap menantunya Mohd. Izwan Johar dapat membimbing anaknya ke arah kebaikan.

“Saya berharap dia (Mohd. Izwan) dapat menjaga Abil dengan baik seperti mana saya menjaganya. Semoga Izwan dapat membimbing Abil menjadi seorang isteri yang baik.

“Diharap Abil dapat menjalani fasa kehidupan sebagai isteri dengan sempurna dan menghadapi dugaan berkahwin dengan penuh sabar.

“Sebagai bapa, saya mendoakan yang terbaik buat mereka berdua. Dengan tangan terbuka, saya menyambut baik kehadiran Izwan sebagai ahli baharu keluarga saya,” katanya kepada BH Online.

Sementara itu, Mohd. Izwan berjanji akan cuba membimbing isterinya dengan baik namun tidak menghalang sekiranya Nabila mahu terus aktif dalam dunia seni.

Ditanya mengenai pandangannya tentang Nabila, jejaka berusia 32 tahun ini akui terpikat dengan sifat selamba dan santai aktres itu apabila bersama dirinya.
“Meskipun dikenali dengan kerjaya sebagai pelakon popular, namun dia (Nabila) adalah seorang yang rendah diri, penyayang dan bertanggungjawab.

“Mereka di luar sana juga mempunyai persepsi yang berbeza dengan karakter sebenarnya. Nabila bukanlah seperti yang digambarkan oleh sesetengah pihak.

“Sebagai suami, saya akan cuba membimbing Nabila dengan baik namun tidak menghalangnya untuk terus bergerak aktif sebagai pelakon,” kata Izwan.

Pasangan ini mula menyulam hubungan cinta dua tahun lalu selepas diperkenalkan rakan mereka.

Nabila sah bergelar isteri kepada Mohd. Izwan kira-kira pukul 9.20 pagi, pada Jumaat di Masjid Sultan Salehuddin Aziz Shah, Shah Alam, Selangor.

Ini adalah perkahwinan kedua buat Nabila selepas gagal dalam perkahwinan terdahulunya dengan Zaidi Zailani. – MYNEWSHUB.CC
0 Komentar untuk "LUAHAN DAN HARAPAN AMY SEARCH TENTANG PERKAHWINAN ANAKNYA"

 
Copyright © 2014 BERITACERITA - All Rights Reserved
Template By Catatan Info