DUA BERADIK BELASAH IBU SAMPAI MATI

Mayat, Wan Yah, 63, yang ditemui dengan kesan bengkak di belakang kepala, lebam di kepala serta cedera di mulut dan hidung ditemukan terbaring di ruang tamu rumah unit pangsapuri Penara, Cheras bulan lalu,

KUALA LUMPUR – Dua beradik didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini terhadap pertuduhan membunuh ibu mereka yang mayatnya ditemui dengan beberapa kesan cedera di ruang tamu, di sebuah flat di Cheras pada November lepas.

Muhamad, 25, dan Ainul Mardhiah, 22, didakwa membunuh Wan Yah, 63, di sebuah flat Sri Penara, Cheras di sini, antara 11 malam hingga 4 petang, antara 9 Nov dan 10 Nov lepas.

Kedua-dua beradik itu, yang merupakan penuntut di universiti awam tempatan, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Majistret Siti Radzeah Kamarudin menetapkan 29 Feb depan untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan kimia dan bedah siasat.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Nor Diana Nor Azwa manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam. – BERNAMA
0 Komentar untuk "DUA BERADIK BELASAH IBU SAMPAI MATI"

 
Copyright © 2014 BERITACERITA - All Rights Reserved
Template By Catatan Info