MUHYIDDIN DIGANTUNG,ZAHID JALANKAN TUGAS TIMB. PRESIDEN

KUALA LUMPUR – Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang berlangsung Jumaat sebulat suara memutuskan Tan Sri Muhyiddin Yassin digantung daripada jawatan Timbalan Presiden parti itu berkuat kuasa serta-merta.

Perkara itu diumumkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pada sidang media yang menjadi tumpuan ramai selepas mesyuarat MT di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra di sini.

Bekas timbalan perdana menteri itu telah digantung tugasnya sehingga selesai pemilihan jawatan dalam parti tunjang Barisan Nasional tersebut yang akan datang dan ia dijangka selepas Pilihan Raya Umum ke-14 kelak.

Tengku Adnan berkata keputusan yang cukup berat berkenaan terpaksa diambil selepas ahli-ahli MT berbincang dengan cukup serius dan panjang lebar selama lebih dua jam semata-mata untuk usul penggantungan tersebut.

“MT ambil maklum UMNO sokong prinsip bersuara tetapi perlulah ikut saluran yang betul. Dalam kes Muhyiddin ini, apa dilakukannya adalah sangat serius dan MT mengambil keputusan menggantung jawatannya serta-merta.

“Keputusan tersebut diambil selepas mengambil kira suasana politik semasa. Muhyiddin seharusnya membantu dalam usaha mengukuhkan parti selepas beliau digugurkan jawatan dalam rombakan Kabinet pada tahun lalu.

“Naib Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi akan menjalankan tugas Timbalan Presiden UMNO,” kata Tengku Adnan pada sidang media itu yang turut disertai Naib Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Sidang media berkenaan juga disertai Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa, selain ketua-ketua sayap Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri serta Bendahari UMNO, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Bagaimanapun Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ahmad Zahid selaku Timbalan Perdana Menteri tidak menyertai mereka pada sidang media pasca mesyuarat MT parti tersebut.
Tengku Adnan seterusnya memaklumkan bahawa ketika membuat keputusan penggantungan jawatan Muhyiddin itu, Najib dan Ahmad Zahid meninggalkan mesyuarat MT yang kemudian dipengerusikan oleh Hishammuddin.

Sebelum ini spekulasi pemecatan Muhyiddin semakin kuat selepas ahli MT, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz meminta Muhyiddin meletakkan jawatan Timbalan Presiden jika tidak lagi dapat menjalankan amanahnya.

Semasa membuat gesaan itu, Mohamed Nazri berkata Perlembagaan UMNO menyatakan dengan jelas bahawa tugas Timbalan Presiden parti itu adalah untuk membantu presiden melakukan tanggungjawab dengan sempurna.

Dalam pada itu, kata Tengku Adnan, Muhyiddin dan naib presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal sudah dimaklumkan untuk hadir ke mesyuarat MT berkenaan, namun mereka berdua didapati tidak menghadirkan diri.

“Hanya jawatan sebagai Timbalan Presiden UMNO yang sekarang dipegang oleh Muhyiddin digantung buat sementara waktu, manakala bagi jawatan-jawatan lain yang ada itu akan kekal seperti biasa,” jelas beliau lagi.

Tengku Adnan menjelaskan Muhyiddin telah diberitahu menerusi faks mengenai mesyuarat MT itu dan jawab juga menerusi faks sebagai tidak hadir, justeru isu beliau tidak diberi peluang mempertahan diri tidak timbul langsung.

Muhyiddin sebelum ini dilapor telah memberi kata dua dengan mengingatkan MT parti tersebut supaya jangan sekali-kali berani untuk mengambil sebarang tindakan tegas terhadapnya jika tidak mempunyai apa-apa bukti.

Ia susulan ucapannya dalam satu program di Kampung Baru pada 7 Disember menjelang Perhimpunan Agung UMNO 2015 yang dilaporkan akan dirujuk kepada Lembaga Disiplin Parti dan MT. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA
0 Komentar untuk "MUHYIDDIN DIGANTUNG,ZAHID JALANKAN TUGAS TIMB. PRESIDEN"

 
Copyright © 2014 BERITACERITA - All Rights Reserved
Template By Catatan Info