Pada zaman Nabi s.a.w ada seorang perempuan datang berjumpa baginda. Dia berkata, suaminya ini seorang lelaki yang soleh dan baik, namun dia tidak ada perasaan cinta terhadap suaminya.
Dia meminta cerai terhadap suaminya, namun suaminya tidak mahu. Lalu, dia minta pandangan Rasulullah s.a.w.
Nabi S.a.w kemudian bertanya, sama ada dia ada harta ataupun tidak? Perempuan itu berkata, dia ada kebun.
Nabi s.a.w lalu mengarahkan perempuan itu menjadikan kebun itu sebagai bayaran tebus talak kepada suaminya.
Oleh: Ustaz Azhar Idrus
Khulu dari segi bahasa bererti melepas atau menanggalkan. Manakala dari segi syara pula ialah perceraian daripada suami ke atas isteri dengan tebusan yang diterima oleh suami.
Contohnya suami melafazkan Aku talaqkan kamu dengan bayaran sekian… atau isteri berkata: Aku menebus talaq ke atas diriku dengan bayaran sekian….
Khulu juga dikenali sebagai Tebus Talak yang bermaksud pembubaran perkahwinan yang diperoleh oleh seorang isteri dengan membayar kepada suaminya dengan sesuatu benda yang berharga.
Di mana kadar benda tersebut adalah berdasarkan persetujuan antara suami dan isteri berkenaan atau berdasarkan kepada keputusan qadhi. Ini dikira sebagai ganti rugi kepada suami berkenaan.
Hal ini adalah berdasarkan pengertian yang diambil dari sebuah hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:
Dari Ibnu Abbas RA bahawa isteri Thabit bin Qais telah datang berjumpa Rasulullah SAW lantas berkata Wahai Rasulullah, saya hendak meminta cerai dari suami saya dan tidak ada cacian terhadapnya tentang perangainya dan keagamaannya tetapi saya bencikan sifat kekufuran yang ada padanya sedangkan saya seorang Islam. Maka sabda Rasulullah SAW Adakah engkau bersedia mengembalikan kebunnya yang telah diberikan kepada kamu sebagai mas kahwin?
Jawabnya: Ya saya bersedia. Lalu baginda menyuruh Thabit bin Qais menerima kembali kebunnya dan menceraikan isterinya. Maka Thabit menerima perintah baginda dan diceraikan isterinya. (Bukhari dan an-Nasai)
Secara umumnya apa sahaja yang boleh dijadikan mahar (mas kahwin) boleh dijadikan bayaran khulu. Iaitu setiap barang yang bernilai atau mempunyai manfaat dan ditentukan secara pasti tentang benda dan faedah yang hendak digunakan sebagai bayaran khulu tersebut.
Nafkah yang wajib ke atas suami kepada isterinya atau nafkah anak kecil yang berada di bawah jagaan ibu atau bayaran susuan dan jagaan anak dengan ditentukan jangka waktunya juga boleh dijadikan bayaran khulu daripada isteri. Dengan ini nafkah yang wajib dibayar oleh suami tidak perlu lagi dibayar dan ia ditanggung sendiri oleh isteri.
Di antara kesan khulu ialah bekas suami tidak boleh rujuk kepada bekas isterinya, bekas suami tidak boleh menambah talak ke atas bekas isterinya dalam waktu iddah dan suami juga tidak boleh berkahwin dengan bekas isterinya kecuali dengan akad dan mas kahwin yang baru.
Iddah bagi isteri yang dikhulu adalah sekali haid dan pembubaran menerusi khulu ini boleh dilakukan pada bila-bila masa iaitu waktu suci atau waktu isteri sedang haid.
Maka berdasarkan khulu ini inisiatif untuk perceraian datang daripada pihak isteri sendiri dan alasan yang boleh diterima oleh syarak. Namun dalam hal ini mana-mana suami adalah dilarang menggunakan kesempatan untuk bertindak menimbulkan kesukaran kepada isterinya bagi mendapat khulu daripadanya kerana dalam kes begini ahli Feqah berpendapat khulu adalah batal dan bayaran tebus talak dipulangkan kepada si isteri semula.
Sumber: azyumiko
0 Komentar untuk "BOLEHKAH ISTERI MINTA CERAI BACA PENUH DISINI"