BAPA TERKEJUT ANAK TIDAK SUKA MANDI SUNGAI LEMAS DI PARIT

Anggota Bomba dan Penyelamat cuba menenangkan keluarga remaja lelaki 14 tahun yang menjadi korban pertama banjir ketika mandi di parit di Kampung Tanjung Labuh hari ini. - Foto BERNAMA

TANGKAK – Bapa kepada mangsa pertama korban banjir di negeri ini, Abd Hamid Buang@Hassan, terkejut apabila mengetahui anaknya yang tidak gemar mandi sungai, lemas ketika mandi di parit bersama rakannya di Kampung Tanjung Labuh, Ledang, dekat sini, petang tadi.

Dalam kejadian pukul 2.30 petang itu, anak keduanya, Abd Hadi Abd Hamid, 14, ditemukan lemas oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) yang melakukan pencarian pada jarak enam meter daripada tempat mangsa dipercayai lemas.

Difahamkan saksi memberitahu bahawa mangsa terkapai-kapai sebaik terjun ke dalam parit yang dipercayai sedalam 3.6 meter setelah dinaiki banjir itu, sebelum mayatnya ditemukan di dasar parit terbabit.

Abd Hamid berkata anak kedua daripada empat beradik itu tidak berapa mahir berenang dan jarang mandi di sungai sebelum ini, namun ajal telah ditetapkan oleh Tuhan hari ini.

“Setahu saya arwah tidak gemar mandi di sungai apatah lagi mandi air banjir…saya tak tahu kenapa hari ini dia pergi mandi di sungai,” kata bapa berusia 43 tahun itu ketika ditemui pemberita di Hospital Tangkak, di sini hari ini.

Abd Hamid berkata sikap pelik yang ditunjukkan arwah kebelakangan ini ialah beliau tidak berapa berminat untuk membantunya membaiki motosikal di bengkel sedangkan sebelum ini arwah rajin membantunya.

Katanya, ketika kejadian, dia berada di bengkel motosikal dan terus bergegas ke tempat kejadian setelah dimaklumkan oleh isterinya mengenai tragedi yang menimpa anaknya itu.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tangkak Penolong Penguasa Bomba Azhar Elmi Mustofar berkata lapan anggota bersama dua pegawai dikejarkan ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan daripada orang awam pada pukul 2.53 petang.

“Mayat mangsa ditemukan pada pukul 3.14 petang dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan di sana sebelum dibawa ke Hospital Tangkak untuk proses bedah siasat,” katanya. – BERNAMA
0 Komentar untuk "BAPA TERKEJUT ANAK TIDAK SUKA MANDI SUNGAI LEMAS DI PARIT"

 
Copyright © 2014 BERITACERITA - All Rights Reserved
Template By Catatan Info