HANYA dua hari selepas imej patung emas gergasi Mao Zedong di wilayah Henan, China tersebar di media sosial, patung tersebut telah lenyap.
Patung tersebut telah dirobohkan atas arahan pihak berkuasa tempatan, lapor New York Times.
Menurut penduduk setempat, pasukan pemusnah tiba pada pagi Khamis dan pada pagi Jumaat hanya timbunan sisa runtuhan yang tinggal.
Patung setinggi 37-meter yang dilaporkan bernilai sekitar RM2 juta itu mula dibina beberapa bulan lalu dan hampir siap ketika mula mendapat perhatian media sosial.
Kebanyakan pengguna media sosial mempersoalkan pembinaan patung yang menelan belanja besar di wilayah luar bandar yang miskin lapor Astro Awani.
Penduduk setempat turut memberitahu bahawa projek tersebut merupakan idea seorang ahli perniagaan tempatan, Sun Qingxin yang membiayai projek tersebut sepenuhnya.
Sun merupakan presiden Lixing Group, sebuah konglomerat yang menghasilkan mesin dan memproses makanan.
“Dia memang taksub dengan Mao,” ujar Wang, seorang penduduk kampung.
“Di kilangnya memang ada banyak patung Mao.”
Sebagai pengasas republik China, Mao memainkan peranan penting dalam menyatukan negara tersebut dan mengakhiri perang saudara yang telah berlarutan puluhan tahun.
Namun, dasar yang terlalu mementingkan sektor industri telah mewujudkan kebuluran dahsyat yang mengorbankan lebih 10 juta orang.
Ironinya, wilayah Henan yang hampir menyaksikan patung gergasi emasnya siap dibina merupakan antara wilayah paling teruk dilanda kebuluran tersebut.
0 Komentar untuk "DIKRITIK HEBAT DI MEDIA SOSIAL, PATUNG EMAS GERGASI TERPAKSA DIROBOHKAN"