Salam ibu-ibu, saya saja nak kongsikan pengalaman saya sendiri tentang hakikat pengasuh dan pemilik taska zaman sekarang.
Baru-baru ini, asyik ada saja kes baby kena macam-macam di Taska. Sebelum itu, ingin saya tegaskan yang saya tidak mengatakan semua taska ye. Tetapi sesetengah taska ini tidak menitik beratkan hal ini. Ibu-ibu, jangan kecam saya pula. Sekali lagi, saya hanya berkongsi cerita sahaja dan ambil sebagai pengajaran.
Saya bekas pekerja sebuah taska di Mahkota Cheras sebelum kahwin lagi. Dah tak sampai dua bulan, saya berhenti kerja kerana saya sudah tidak sanggup lagi menahan kesedihan di hati ini. Terasa seperti orang paling bodoh pada waktu itu sebab saya tak mampu nak buat apa-apa pada ketika itu.
Bila saya membuat aduan pada pemilik taska, pemiliknya pula menuduh saya menipu dan sengaja mereka-reka cerita. Padahal, semua itu berlaku di depan mata saya sendiri.
Saya sendiri melihat bagaimana kakitangan taska memberikan layanan yang teruk kepada budak-budak. Mereka tampar budak-budak, mereka menggoncang budak-budak itu sampai menangis-nangis dan muntah. Mereka berikan susu pada bayi yang baru berusia beberapa bulan sambil menampar-nampar pipi bayi itu menjadi merah dan bayi itu terkejut-kejut.
Semasa budak-budak itu dimandikan, mereka hanya menjirus dengan air saja sehingga budak-budak itu terasa seperti lemas. Selain itu, ada juga budak-budak yang terjatuh. Bila waktu makan pula, mereka main sumbatkan saja makanan di dalam mulut budak sampai nak termuntah-muntah sebab tak habis lagi makanan dalam mulut.
Tetapi bila waktu balik, di depan ibu bapa kepada anak-anak asuhan, mereka berlakon baik. Ibu bapa tidak tahu di belakang, pengasuh memperlakukan anak-anak mereka dengan teruk. Hanya Allah saja yang tahu betapa sakitnya hati saya.
Saya mengambil keputusan untuk berhenti kerja tanpa mengambil gaji. Sebab saya tahu gaji saya tidak berkat. Sayu hati saya melihat wajah ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka di taska itu. Bila petang, masing-masing menyambut anak-anak mereka dengan pelukan dan ciuman. Saya sedih mereka tidak tahu anak-anak mereka dilayan dengan teruk di belakang.
Kepada ibu bapa, tolong berwaspada dengan taska anak-anak anda. Mereka ini pandai berlakon dan bermulut manis. - Puteri Nurul Husna | Ditulis semula untuk siaran di THEHYPEMEDIA.COM
0 Komentar untuk ""MEREKA DERA ANAK ASUHAN SAMPAI TERMUNTAH-MUNTAH""