PEMANDU TEKSI WARGA EMAS TERBUNUH AKIBAT DISERANG DI PERSIMPANGAN LAMPU ISYARAT

KOTA BHARU, 28 Dis : Seorang pemandu teksi warga emas maut ditikam ketika dia sedang menunggu lampu isyarat merah di dalam satu kejadian di persimpangan lampu isyarat Jalan Pasir Mas-Salor di sini hari ini.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, ACP Ahmad Taufek Abdullah, mangsa yang berusia 67 tahun dibunuh oleh seorang lelaki yang menunggang motosikal ketika teksi yang dipandu olehnya sedang berhenti di persimpangan lampu isyarat kira-kira jam 2.30 petang.

Mangsa dikenali sebagai Sudin Awang.

"Semasa dia (pemandu teksi) berhenti di persimpangan itu ketika lampu merah, suspek menghampiri kenderaannya lalu memecahkan cermin belakang, cermin pintu penumpang depan dan cermin pintu sebelah pemandu dengan objek keras.

"Kemudian pemandu teksi ini diarah keluar daripada teksinya oleh suspek dan kemudian dia dipercayai ditikam dengan senjata tajam sebelum rebah di tempat kejadian," kata Taufek sebagaimana lapor Bernama.

Suspek kemudian dilapor melarikan diri ke arah Salor.

Mangsa, yang berasal dari Kampung Wakaf Lanas, Pasir Puteh sedang memandu teksinya dari arah Dewan Beta di sini bersama seorang penumpang wanita yang duduk di bahagian belakang.

"Penumpang dalam teksi itu bagaimanapun dapat menyelamatkan diri," katanya.

Orang ramai termasuk pemandu yang menyaksikan atau mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta tampil untuk membantu polis menyiasat kes tersebut.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk bedah siasat. - Siakapkeli.my
0 Komentar untuk "PEMANDU TEKSI WARGA EMAS TERBUNUH AKIBAT DISERANG DI PERSIMPANGAN LAMPU ISYARAT"

 
Copyright © 2014 BERITACERITA - All Rights Reserved
Template By Catatan Info