SIMBOL SI BERANI, PENJUAL SATE RAIH UNTUNG DI TENGAH BOM JAKARTA

JAKARTA, 15 Jan — Di tengah huru-hara insiden pengeboman dan tembakan berdekatan kompleks beli-belah Sarinah di sini, rupa-rupanya masih ada rezeki buat penjual sate yang dianggap “berani” ini.

Dalam serangan yang bermula sekitar jam 10.30 pagi (11.30 pagi waktu Malaysia), Jamal yang menjual sate ayam dan kambing memang mahu melarikan diri.

Namun, teringatkan barangan jualannya, penjaja berusia 66 tahun itu bersama isterinya Heni, 50, tidak jadi melarikan diri, lapor Kompas.

“Kami dengar suara [bom] yang kedua dan lihat orang-orang lari, awalnya sempat mahu lari juga. Cuma setelah ingat [barang] dagangan, kami tidak jadi ikut lari,” kata Heni.

Selain mereka berdua, pembeli-pembeli sate juga tetap di situ, menikmati hidangan penjaja itu.

Foto Jamal yang terus membakar sate di tengah ketegangan insiden tersebut menjadi simbol keberanian warga Indonesia, melalui kata kunci #KamiTidakTakut di media sosial.

Tetapi bukan hanya simbol keberanian. Warga emas itu yang berniaga sejak 1970-an di Sabang, terletak di timur laut kompleks Sarinah, juga meraih keuntungan sehingga 700,000 rupiah (RM220) semalam.

“Kalau mahu jujur, keuntungan saya semalam 700,000 rupiah. Tidak seperti hari biasa, alhamdullilah bersyukur,” kata Jamal kepada portal Oke Zone hari ini.

Jamal dan isteri menjual 45,000 rupiah (RM14.20) bagi satu hidangan kepada orang ramai yang berada di sekeliling lokasi kejadian, yang menyaksikan operasi polis selama beberapa jam.

“Ya, yang namanya berniaga (saya tawarkan juga kepada mereka yang melarikan diri), beli atau tidak beli, itu urusan nanti, tapi akhirnya ada juga yang membeli,” katanya lagi.

Jamal sedar foto beliau membakar sate menjadi popular di media sosial dan menjadi bahan berita.

Malah keluarganya memberitahu bapa mereka muncul di kaca televisyen.

“Wah, selepas tiba di rumah, orang-orang di rumah teriak-teriak, wah bapak terkenal, bapak ada di TV,” peniaga sate itu dipetik berkata. 

Serangan semalam mengorbankan tujuh orang, termasuk lima pengganas, dan 20 lagi cedera.
0 Komentar untuk "SIMBOL SI BERANI, PENJUAL SATE RAIH UNTUNG DI TENGAH BOM JAKARTA"

 
Copyright © 2014 BERITACERITA - All Rights Reserved
Template By Catatan Info